KANGAR – Dua pemandu teksi warga Thailand didenda RM6,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah membenarkan seorang migran haram warga asing masuk ke negara ini, bulan lalu.
Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid menjatuhkan hukuman itu terhadap Kantapong Phetkliang, 37, dan Muhammattarmisee Salaeh, 31, selepas menerima pengakuan bersalah kedua-dua tertuduh.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membenarkan seorang migran haram warga asing masuk ke premis kaunter pemeriksaan kereta masuk 3 (KM3), Pos Imigresen Padang Besar kira-kira pukul 3.10 petang, 17 April lalu.
Berikutan itu, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55(1) Akta Imigresen 1959/63 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM5,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap migran yang dijumpai di premis berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perlis, Shazwani Ibrahim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Selain itu, kenderaan Isuzu Dmax terbabit turut dilucut hak kepada kerajaan Malaysia manakala barang kes lain diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk dilupuskan mengikut budi bicara pihak berkuasa.
Kedua-dua tertuduh membayar denda sebelum dibawa pulang ke pejabat JIM negeri bagi proses dokumentasi senarai hitam dan pengusiran. – KOSMO! ONLINE














