PETALING JAYA – Majlis Ekonomi Jingga (MEJ) akan menjadi badan tertinggi yang bertanggungjawab memacu pembangunan ekosistem ekonomi kreatif negara menerusi tadbir urus yang lebih strategik dan kolaboratif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Jingga (MEJ) Bilangan 1 Tahun 2026 yang menjadi platform utama bagi merangka hala tuju sektor ekonomi kreatif negara.
Menerusi hantaran di laman Facebook hari ini, Anwar berkata, MEJ turut berfungsi sebagai badan penasihat kepada kerajaan dalam aspek perancangan, pelaksanaan dan pemantauan pembangunan ekonomi jingga secara menyeluruh.
“MEJ ditubuhkan sebagai badan tertinggi untuk memacu ekosistem kreatif negara melalui tadbir urus yang strategik dan kolaboratif.
“MEJ juga bertindak sebagai badan penasihat ekonomi jingga kepada kerajaan dan meneraju dalam perancangan, pelaksanaan serta pemantauan sektor ini secara menyeluruh,” katanya.
Menurutnya, antara fungsi utama majlis tersebut ialah merangka dasar dan strategi nasional berkaitan ekonomi jingga di samping mengenal pasti pelbagai isu serta potensi yang boleh dimanfaatkan bagi memperkukuh industri berkenaan.
Beliau berkata, usaha itu selari dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasakan sektor kreatif sebagai antara pemacu baharu pertumbuhan ekonomi negara.
“Adalah menjadi hasrat saya agar badan tertinggi ini berupaya memacu anjakan yang inklusif, sejajar dengan gagasan Malaysia Madani yang mendepankan nilai kemanusiaan, daya cipta serta kemampanan ekonomi,” ujarnya.
Untuk rekod, ekonomi jingga merujuk kepada sektor yang berasaskan kreativiti, kebudayaan, seni, kandungan digital, media, reka bentuk, muzik, filem dan pelbagai industri kreatif lain yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta penciptaan peluang pekerjaan. – KOSMO! ONLINE














