PETALING JAYA – Pemergian legenda bola sepak England, Kevin Keegan selepas bertarung dengan kanser tahap empat ternyata dirasai di seluruh dunia selain komuniti sukan tersebut di negara ini.
Malah, kapten The Three Lions itu yang diberikan jolokan nama Mighty Mouse oleh peminat di Jerman pernah dibawa ke negara ini oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membimbing dan bermain bersama pasukan pelapis Malaysia pada Pestabola Merdeka 1984.
Ia merupakan usaha FAM ketika itu untuk menarik penonton ke stadium bagi menyokong skuad kebangsaan khususnya pelapis muda negara ketika itu yang dikenali sebagai Harimau Malaysia.
Siapa sangka skuad Harimau Malaysia yang ditubuhkan FAM pada 1981 hingga 1986 bukan sahaja khidmat Kevin Keegan selaku pemain merangkap jurulatih, malah mendiang George Best selain Dr. Jozef Venglos dari Czechoslovakia sebagai penasihat teknikal pasukan.
Turut menjadi pemain undangan Harimau Malaysia khususnya dalam Pestabola Merdeka 1985 ialah penyerang terbilang negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari atau Supermokh.
Kevin Keegan yang berketinggian 1.73 meter itu juga berjaya menjaringkan dua gol dalam perlawanan pertama Pestabola Merdeka 1984 ketika menentang Pakistan dengan berkesudahan 2-0 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Semalam, Kevin Keegan yang juga pemenang dua anugerah Ballon d’Or meninggal dunia pada usia 75 tahun di samping keluarga.
Sepanjang karier sebagai pemain, beliau dianggap antara pemain terbaik di dunia apabila pernah membantu Liverpool menjadi juara saingan Divisyen Satu sebanyak tiga kali selain meraih anugerah Ballon d’Or.
Mendiang juga turut berjaya mencipta nama bersama Hamburg dan Newcastle United dalam karier gemilangnya.
Selain dikenang sebagai antara ikon terbaik dalam sejarah bola sepak England, dunia bola sepak dunia serta prminat di negara ini turut berduka cita. – KOSMO! ONLINE














