SHAH ALAM – Tindakan 26 pekerja warga Indonesia menggunakan MyKad palsu memakan diri apabila dicekup di dua gudang pakaian di Glenmarie di sini, hari ini.
Pengesanan itu hasil Ops Pandan dijalankan kira-kira pukul 10.30 pagi dengan mereka yang ditangkap melibatkan 20 wanita dan enam lelaki berusia 25 hingga 50 tahun itu.
Rata-rata mereka yang ditangkap itu membeli serta menyewa kad milik orang lain untuk bekerja di premis berkenaan.
Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Mazhad Abdul Aziz berkata, serbuan itu hasil risikan pihaknya selama sebulan dengan pemeriksaan menyeluruh dilaksanakan terhadap 134 pekerja premis itu termasuk 108 daripadanya warga tempatan.
“Semakan lanjut mendapati 26 warga Indonesia dipercayai terlibat kesalahan memiliki kad pengenalan palsu yang menggunakan identiti orang lain. Kesemua tangkapan itu akan dibawa ke JPN Putrajaya bagi siasatan lanjut mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990,” katanya yang mengetuai operasi itu.
Menurut Mazhad, pengesanan MyKad palsu itu dilakukan pihaknya menerusi alat Mobile Terminal Unit (MTU) bagi semakan cap jari secara serta-merta.
“Jika rekod cap jari tiada dalam sistem itu, individu berkenaan disyaki menggunakan kad pengenalan palsu. Selain itu, kita melihat keadaan kad, warna dan kualiti gambar kad berkenaan yang agak berbeza berbanding kad tulen,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE














