JOHOR Darul Ta’zim (JDT) enggan terlalu kecewa dan melihat sudut positif di sebalik kegagalan mereka untuk layak ke final Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC), musim ini.
Pada perlawanan separuh akhir kedua, kelmarin, Harimau Selatan meraih kemenangan 2-1, namun belum cukup untuk menghalang kemaraan Buriram United yang meraih kejayaan 4-3 secara agregat.
Pengendali JDT, Xisco Munoz berkata, dia tetap berbangga dengan kualiti dipamerkan anak buahnya sepanjang perlawanan hingga mengheret perlawanan ke masa tambahan.
“Saya bangga dengan pemain kerana mereka bermain dengan sangat luar biasa. Saya rasa kami bermula baik sejak minit pertama untuk mengubah keputusan perlawanan dan ini adalah kali pertama kami menang di sini, jadi ia adalah satu perkara positif buat kami.
“Tetapi, saya mahu fokus pada perkara-perkara positif, mara ke separuh akhir, memenangi liga dan cipta sejarah di Liga Juara-Juara Elit (ACLE). Perkara sebegini hanya boleh kita jadikan pengajaran untuk masa hadapan.
“Ia penting sebagai proses pembelajaran untuk musim depan kerana kami adalah kelab besar dan sentiasa mempunyai cita-cita besar. Kami akan bekerja lebih keras untuk musim depan dan cuba untuk sampai ke perlawanan akhir,” katanya.
Terdahulu, JDT yang tewas 1-3 dalam perlawanan pertama, 6 Mei lalu seakan hampir mampu untuk merealisasikan final idaman menentang Selangor FC apabila mendahului 2-0 hasil jaringan Bergson Da Silva dan Marcos Guilherme, namun Kingsley Schindler muncul wira buat Buriram United.
“Kesilapan kami adalah pada perlawanan di tempat sendiri. Kami kena belajar, jadi lebih matang dan paling penting saya tahu bahawa pemain sudah berikan 100 peratus,” katanya.














