KUALA LUMPUR – Chrigor Moraes terus mempamerkan bisa apabila meledak dua gol untuk membawa Selangor FC ke pentas final Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC), musim ini.
Pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Thien Truong, sebentar tadi, The Red Giants meraih kemenangan 2-0 ke atas Nam Dinh FC untuk mengesahkan kemaraan hasil kejayaan 4-1 secara agregat.
Skuad kendalian Kim Pan-gon hampir berada di depan seawal minit ke-19 namun sungkitan yang dilakukan Moraes berjaya ditepis oleh penjaga gol lawan, Tran Nguyen Mạnh.
Bagaimanapun, kekasaran Mitchell Dijks ke atas Mohammad Abualnadi menyaksikan Selangor FC dihadiahkan sepakan penalti dan peluang keemasan pada minit ke-38 itu mudah disempurnakan oleh Moraes.
Tuan rumah cuba menggandakan asakan untuk mendapatkan gol semangat namun Moraes terus menyerlahkan sentuhan jaringannya apabila meledak gol kedua pada minit ke-90.
Menanti The Red Giants di perlawanan akhir adalah pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan gergasi Thailand, Buriram United.
Aksi final pertama akan berlangsung pada 20 Mei sementara final kedua pula pada 27 Mei. – KOSMO! ONLINE














