fbpx
SKUAD Harimau Selatan yakin untuk melakukan kebangkitan meskipun ketinggalan 1-3 pada perlawanan pertama. - FB JOHOR SOUTHERN TIGERS

ACC: JDT tekad bangkit di bumi Buriram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) enggan mengibarkan bendera putih meskipun berdepan misi sukar apabila turun menentang Buriram United pada aksi timbal balik separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Arena Chang, malam ini.

Pengendali Harimau Selatan, Xisco Munoz percaya pasukannya masih memiliki segala ramuan untuk mencipta kebangkitan dramatik biarpun ketinggalan agregat 1-3 selepas aksi pertama, Rabu lalu.

Menurut jurulatih kelahiran Sepanyol itu, keyakinan pasukan berada di tahap terbaik selepas JDT mempamerkan amukan luar biasa dengan membelasah Kelantan The Real Warriors 14-1 pada aksi penutup Liga Super, Ahad lalu.

“Kita tahu tugas ini bukan mudah, tetapi dalam bola sepak tiada yang mustahil. Apa yang penting pemain perlu turun dengan mentaliti positif dan keyakinan tinggi.

“JDT mempunyai kualiti, pengalaman serta kekuatan mental untuk bangkit semula. Jika ada pasukan yang mampu mengubah keadaan ini, saya percaya pasukan itu adalah JDT,” katanya.

Munoz berkata, fokus utama pasukan ketika ini adalah memastikan corak permainan pantas dapat diterjemahkan dengan lebih efektif selain mengurangkan kesilapan teknikal yang menghukum mereka pada aksi terdahulu.

Bekas pengendali Watford F.C. itu mengakui anak buahnya berjaya mengawal tempo permainan sebelum ini, namun aspek penyudah serta disiplin bertahan perlu dipertingkatkan sekiranya mahu menumbangkan Thunder Castle di laman sendiri.

“Kami perlu lebih matang ketika mengendalikan situasi kritikal dalam perlawanan. Di kawasan serangan, kami perlu lebih tajam dan pada masa sama memastikan gawang tidak dibolosi.

“Pasukan perlu kekal fokus sehingga wisel penamat kerana peluang masih terbuka. Kami ke sana dengan cita-cita besar untuk memburu tempat ke final,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN