JADUAL padat yang terpaksa dihadapi Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi faktor utama kepada Jurulatih Interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tidak memanggil pemain-pemain daripada skuad Harimau Selatan.
Cheng Hoe menjelaskan, aksi persahabatan menentang China dan Yemen pada 14 dan 17 November memberikan peluang buatnya melihat kemampuan, kualiti dan kesesuaian pemain untuk beraksi di peringkat antarabangsa.
“Pada bulan ini sahaja, JDT dijadualkan mengharungi empat perlawanan membabitkan beberapa tugasan penting pada saingan Liga Juara-Juara Asia, Piala Shopee serta aksi separuh akhir Piala FA.
“Selain memberi ruang kepada JDT menguruskan jadual pertandingan yang padat, saya juga mengambil kira kepentingan mereka untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada saingan di pentas Asia.
“Ini kerana JDT berpeluang untuk terus menambah pungutan mata Malaysia dalam Member Association (MA) Ranking yang akan memberi manfaat kepada kedudukan bola sepak negara di peringkat Asia,” katanya.
Dalam senarai 24 pemain yang diumumkan kelmarin, tiada kelibat bintang JDT, malah lebih mengejutkan apabila pemain Harimau Selatan juga turut tidak tersenarai dalam 15 pemain senarai bersedia.
Harimau Malaya dijadualkan menentang China pada 14 November dan Yemen pada 17 November pada aksi persabahatan di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong, China.
“Ini juga merupakan peluang penting untuk kita memperluaskan pilihan pemain yang boleh dipertimbangkan bagi membentuk skuad kebangsaan yang lebih kompetitif pada masa akan datang,” katanya.
















