KAPTEN Selangor FC, Faisal Halim menunjukkan perkembangan positif untuk kembali menabur khidmat bersama pasukan mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Bagaimanapun, Selangor FC, Kim Pan-gon tidak mahu terlalu terburu-buru dan sedia untuk menanti lebih lama sekiranya Faisal belum benar-benar bersedia kembali beraksi secara kompetitif.
“Tidak (Mickey tidak akan beraksi untuk separuh akhir kedua Piala FA). Mickey menunjukkan perkembangan yang baik dan saya gembira melihatnya. Bagaimanapun, saya fikir dia masih memerlukan sedikit masa lagi.
“Bukan dalam tempoh ini, mungkin dalam beberapa minggu lagi. Saya menjangkakan dalam tempoh beberapa minggu akan datang dia boleh kembali. Dia sudah berusaha dengan bersungguh-sungguh.
“Pasukan perubatan kami juga banyak membantu. Jadi, harap kita dapat melihatnya kembali beraksi dalam beberapa perlawanan akan datang,” katanya.
Faisal yang lebih dikenali sebagai Mickey dihimpit kecederaan ketika bersama skuad kebangsaan mengharungi saingan Piala ASEAN Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), September lalu.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon menjelaskan Mickey berkemungkinan akan tersisih dua ke tiga minggu dan kini sudah pun terlepas beberapa aksi bersama The Red Giants.
















