GEORGE TOWN – Hanya penjaja dan pasar awam sahaja dikecualikan daripada pelaksanaan larangan penggunaan beg plastik sekali guna yang akan berkuat kuasa di negeri ini, pada 1 September nanti.
Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Datuk Seri S. Sundarajoo berkata, pengecualian tersebut adalah mengambil kira realiti operasi yang dihadapi oleh penjaja dan peniaga pasar basah, khususnya dalam pengendalian bahan basah dan segar.
Menurutnya, ini memadangkan kaedah alternatif yang sesuai dan praktikal berhubung perkara berkenaan masih dalam peringkat kajian.
“Beg plastik buat masa akan kekal sebagai bahan pembungkusan utama bagi sektor ini sehingga alternatif yang bersesuaian dikenal pasti
“Kerajaan negeri sedang meneroka alternatif yang lebih mesra alam seperti produk bio-kompos serta produk atau beg biodegradasi sekali gus menggalakkan orang ramai untuk membudayakan amalan membawa beg guna semula semasa membeli-belah,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang kekal komited dalam memperkukuh amalan penggunaan secara lestari serta mengurangkan kebergantungan terhadap plastik sekali guna di seluruh negeri.
“Saya ingin menegaskan bahawa penguatkuasaan bermula 1 September itu hanya melibatkan kategori premis tertentu di bawah fasa pelaksanaan ‘GP Plastic Bag Only’.
“Penguatkuasaan itu melibatkan pasar raya besar (hypermarket), pasar raya (supermarket), gedung serbaneka, kedai serbaneka, restoran makanan segera, kedai serbaneka di stesen minyak, kedai rangkaian, farmasi dan klinik.
Selain itu, katanya lagi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga akan menyeragamkan pelaksanaan inisiatif ‘Tak Nak Penyedut Minuman Plastik’ berkuat kuasa 1 September nanti.
“Kerajaan Negeri bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Penang Green Council akan terus mempergiat usaha kesedaran dan pendidikan melalui inisiatif Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA), merangkumi pelbagai sektor dan komuniti.
“Inisiatif ini bukan bertujuan untuk membebankan pihak perniagaan atau orang awam, sebaliknya merupakan langkah berperingkat ke arah membentuk amalan penggunaan yang lebih lestari serta tanggungjawab alam sekitar jangka panjang di Pulau Pinang,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE














