fbpx
Tangkap layar memaparkan hantaran yang dimuat naik olehnya di laman Facebook.

[VIDEO] 54 kapal misi flotila bakal belayar tembusi Gaza esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Aktivis kemanusiaan, Nadir Al-Nuri memaklumkan sebanyak 54 kapal misi Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF 2.0) dijangka berlepas dari Marmaris, Turki esok bagi membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Menurutnya dalam satu hantaran di laman media sosial, lima daripada kapal tersebut merupakan hasil gabungan bersama Freedom Flotilla Coalition yang membawa lebih 500 peserta dari hampir 60 negara.

Katanya, misi itu merupakan perjalanan terakhir flotila berkenaan bagi menembusi sempadan Gaza dan memastikan laluan bantuan kemanusiaan melalui laut dapat dibuka serta dikekalkan.

“Insya-Allah pada esok hari, 54 buah kapal akan bergerak, lima daripadanya adalah hasil gabungan kita bersama-sama dengan Freedom Flotilla Coalition.

“Ia membawa lebih 500 peserta yang datang dari hampir 60 buah negara untuk bersama-sama sampai kepada penduduk yang berada di bumi Gaza,” katanya.

Dalam pada itu, dia turut menyeru masyarakat dunia untuk terus menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin menjelang sambutan Hari Nakba pada 15 Mei.

Menurutnya, tarikh tersebut memperingati pengusiran kira-kira 800,000 rakyat Palestin dari tanah air mereka.

“Pastikan kalian bangkit bersungguh-sungguh pada 15 Mei ini, meraikan bersama-sama hari ulang tahun pengusiran sekitar 800,000 penduduk dari bumi mereka.

“Pertahankan hak mereka dan berikan mereka peluang untuk kembali pulang ke tanah air asal mereka serta pastikan genosid dapat dihentikan bersungguh-sungguh,” ujarnya.

Dia berkata, misi flotila itu juga disifatkan sebagai peluang terakhir untuk masyarakat antarabangsa bertindak dalam memperjuangkan pembebasan Palestin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN