PORT DICKSON – Keadaan air laut di daerah ini kembali jernih selepas lima tahun dengan kali terakhir direkodkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan penularan Covid-19 sehingga menarik perhatian orang ramai.
Setiausaha Persatuan Pencinta Alam Malaysia Cawangan Negeri Sembilan/Melaka, Yap Miow Lin berkata, fenomena itu dianggap unik kerana pantai Port Dickson terletak di Selat Melaka.
“Menurut pakar, ombak kuat dan pergerakan arus aktif menjadikan mendapan (lumpur, pasir) dihanyutkan dengan lebih cepat serta peluang lebih tinggi untuk air lebih jernih.
“Kurangnya aktiviti manusia yang membawa pencemaran di kawasan ini turut menjadikan air laut juga lebih jernih dan bersih. Malah, aktiviti pembersihan pantai dan paya bakau juga mengurangkan sampah masuk ke laut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Semalam, tular di media sosial apabila orang ramai berkongsi keadaan air laut di Port Dickson yang kelihatan jernih seperti di Maldives.-KOSMO! ONLINE














