fbpx
MOHAMAD Irwan (kiri) dan Khairul Helmy (tengah) dituduh membakar dua kereta di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, hari ini.

Dua sahabat baik tidak mengaku bakar Honda Civic, Proton Saga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Dua sahabat baik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan membakar dua buah kereta pada Mac dan bulan lalu.

Tertuduh, Khairul Helmy Abd. Karim, 39, dan Mohamad Irwan Abdul Halim, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat.

Mereka berdua didakwa secara bersama menyimbah petrol dan membakar kereta Honda Civic milik seorang lelaki sehingga mengalami kerosakan di Persiaran Amanjaya, di sini pada pukul 5.30 pagi, 20 Mac lalu.

Kedua-dua tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan sama ke atas kereta Proton Saga milik individu lain di Padang Mahkota Jaya, di sini kira-kira pukul 4.30 pagi, 24 April lalu.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Halimi Md. Salleh, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Siti Haslina Hasbullah.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 setiap seorang dan menetapkan 21 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Kosmo! pada 6 Mei lalu melaporkan lima ahli Geng Atan termasuk sepasang suami isteri yang disyaki menerima upah RM300 hingga RM600 bagi setiap ‘tugasan’ menyimbah cat dan membakar kenderaan peminjam along diberkas di Sungai Petani, baru-baru ini.

Empat suspek lelaki dan seorang wanita berusia 31 hingga 43 tahun itu ditahan dalam Ops Vulture sejak 26 April lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN