fbpx
Anggota polis membawa Hanafi untuk didakwa atas sembilan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap tiga anak murid lelaki di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini.

Guru mengaji ‘sentuh’ tiga murid lelaki di masjid dijel 9 tahun, 3 sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR MAS – Seorang guru mengaji al-Quran dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap tiga anak murid lelakinya di tiga buah masjid dekat Tanah Merah sejak tiga tahun lalu.

Tertuduh, Hanafi Hassan, 64, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, warga emas itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki ketika mangsa berusia antara sembilan tahun empat bulan hingga 11 tahun sembilan bulan.

Perbuatan itu dilakukan di bilik mandi sebuah masjid di Kusial Bharu, Tanah Merah kira-kira pukul 5.45 petang pada Mei 2023 dan pukul 5 petang pada 11 Oktober 2025

Kesalahan sama turut dilakukan oleh Hanafi kira-kira pukul 8 pagi pada 16 Mac 2024 di sebuah stor gunting rambut di kawasan perumahan Kursial, Tanah Merah dan pukul 5 petang di tandas sebuah masjid di Tanah Merah pada 26 Januari 2025.

Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun 11 bulan kira-kira pukul 3.15 petang pada 25 September 2025, 2 Oktober 2025 dan 24 Oktober 2025 di sebuah masjid di Kusial Bharu, Tanah Merah.

Sementara itu, pertuduhan kelapan dan kesembilan melibatkan seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dua bulan di bilik mandi di sebuah masjid di Tanah Merah kira-kira pukul 5.30 petang pada 23 November dan 7 Disember 2025.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hanafi yang menangis ketika membuat rayuan memaklumkan sudah menyesal atas perbuatannya selain memberi alasan dia merupakan tulang belakang keluarga termasuk menyara seorang anak orang kurang upaya.

“Pak cik menyesal atas perbuatan terkutuk ini dan mohon hukuman seringan-ringannya. Pak cik juga sudah tua,” katanya.

Siti Aiysha Na’ilah memohon hukuman setimpal dikenakan kerana perbuatan tertuduh memberi kesam trauma kepada mangsa yang masih kecil selain kesalahan itu dilakukan secara berulang kali sejak 2023.

“Tertuduh turut menggunakan taktik pujukan seperti membelikan kasut, pengecas telefon dan kad sim kepada mangsa. Warga emas itu juga mengugut tidak mahu mengajar al-Quran sekiranya mangsa enggan menuruti kehendaknya,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan tiga sebatan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 1 Mei lalu.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang berada di penjara selain dikenakan pengawasan polis selama tiga tahun selepas tamat menjalani hukuman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN