NARATHIWAT, Thailand – Dua rakyat Malaysia cedera selepas kenderaan pelbagai guna (SUV), Proton X50 yang dinaiki mereka terkena letupan bom buatan sendiri (IED) yang dipercayai ditanam di tepi jalan di Persimpangan Sapom, Daerah Tak Bai, di sini, pagi tadi.
Bagaimanapun identiti kedua-dua mangsa masih belum dikenal pasti dalam kejadian pukul 11.41 pagi itu waktu tempatan itu.
Sumber Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, kedua-dua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Daerah Tak Bai untuk menerima rawatan.
“Letupan itu turut mengakibatkan SUV berkenaan mengalami kerosakan teruk,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut ISOC4, pasukan keselamatan segera mengepung kawasan kejadian dan menutup laluan berkenaan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan. – KOSMO! ONLINE














