SUNGAI PETANI – Kemalangan membabitkan lapan mangsa termasuk lima guru di Kilometer 94 Lebuh Raya Utara-Selatan, di sini pagi ini berlaku apabila sebuah lori merempuh dua kenderaan yang berhenti di lorong kecemasan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, pemandu Perodua Myvi iaitu Noriah Mat Isa, 56, yang merupakan Penolong Kanan Program Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Kebangsaan Utan Aji di Perlis, parah.
Tujuh mangsa lain dilaporkan mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kereta Perodua Myvi yang dalam perjalanan dari Alor Setar menghala ke Sungai Petani berhenti di lorong kecemasan selepas mengalami kerosakan.
“Selepas itu, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Noah tiba di lokasi sebelum berhenti di hadapan Perodua Myvi.
“Sejurus kemudian, sebuah lori yang datang dari arah belakang merempuh Perodua Myvi sebelum kereta itu melanggar MPV. Ketiga-tiga kenderaan itu kemudiannya terbabas ke bahu jalan,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, akibat kemalangan itu, pemandu Perodua Myvi mengalami kecederaan parah dan menerima rawatan di Zon Merah Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.
“Sementara itu, pemandu MPV dan lori menerima rawatan di Zon Hijau HSAH,” katanya sambil memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam kejadian itu, enam individu iaitu lima guru serta anak kepada salah seorang guru berusia 16 tahun menaiki Perodua Myvi dan Toyota Noah.
Difahamkan, kesemua guru terbabit dalam perjalanan untuk menghadiri satu program di sebuah sekolah di Serdang, dekat sini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang wanita parah manakala tujuh lagi mangsa cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 94 Lebuh Raya Utara-Selatan, pagi ini. – KOSMO! ONLINE














