PETALING JAYA – Hantaran ringkas Ahli Dewan Negara daripada Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang menggesa penyokong parti itu mengundi calon Barisan Nasional (BN) di kerusi yang tidak ditandingi Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai hala tuju kerjasama politik antara kedua-dua parti.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, anak kepada bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu menulis: “Rasmi PRN Johor: Di DUN Pas tidak bertanding, undi BN.”
Hantaran itu walaupun ringkas dilihat memberi bayangan bahawa sokongan penyokong Pas disaran disalurkan kepada calon BN di kerusi tertentu, sekali gus menghidupkan semula perbincangan mengenai kemungkinan kebangkitan semula Muafakat Nasional.
Setakat ini, tiada penjelasan lanjut diberikan Nik Abduh berhubung kenyataan tersebut, namun ia pantas menarik perhatian pemerhati politik yang melihatnya sebagai isyarat awal kepada kerjasama lebih erat antara UMNO dan Pas menjelang PRN Johor.
Muafakat Nasional yang dimeterai UMNO dan Pas pada 2019 sebelum ini pernah menjadi platform kerjasama politik kedua-dua parti, namun hubungan itu kemudiannya menjadi longgar susulan perubahan landskap politik negara.
Hantaran terbaharu Nik Abduh dijangka terus menjadi perhatian kerana berpotensi memberi gambaran awal terhadap strategi dan penjajaran politik pembangkang menjelang kempen PRN Johor. KOSMO! ONLINE.














