KLANG – Kegiatan sindiket pemalsuan dokumen dan penggunaan cap keselamatan palsu yang dipercayai aktif sejak tiga tahun lalu akhirnya tumpas dalam serbuan menerusi Op Serkap di sekitar daerah ini, semalam.
Dalam operasi pada pukul 1.45 petang itu, Jabatan Imigresen Malaysia Selangor berjaya menahan 12 warga asing termasuk dalang utama yang merupakan seorang wanita warga India berusia 25 hingga 40 tahun.
Timbalan Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Khusairi Kamarudin berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati suspek merupakan pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang kepada seorang warga tempatan.
Menurutnya, sindiket ini dipercayai telah aktif sejak tiga tahun lalu dengan menyasarkan warga asing dari luar negara sebagai pelanggan.
“Modus operandi sindiket ini adalah pelanggan akan dibawa masuk ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
“Mereka kemudian ditempatkan di sebuah rumah transit di sekitar Klang antara seminggu hingga dua minggu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menambahnya, sindiket turut menyediakan pelbagai dokumen palsu termasuk rekod perjalanan bagi menggambarkan mempunyai sejarah perjalanan yang kukuh.
Tegasnya, sindiket turut menghasilkan rekod pekerjaan palsu di Malaysia dengan menyediakan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara yang palsu.
“Menerusi operasi itu, 12 individu yang ditahan membabitkan warga India, Bangladesh dan Sri Lanka kini ditempatkan di depot imigresen bagi tujuan siasatan lanjut.
“Siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket ini, termasuk kemungkinan penglibatan individu lain di dalam dan luar negara,” jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 56(1)(l), 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE














