KUALA LUMPUR – Bapa Allahyarham Siti Adawiyah, 14, Muhammad Hasrul Ghazal, 41, menafikan dakwaan menggunakan borang pengebumian palsu bagi menguruskan jenazah anaknya di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Klang, baru-baru ini.
Muhammad Hasrul yang bekerja sebagai pemandu peribadi turut menafikan dakwaan bahawa terdapat tandatangan palsu pada borang berkenaan.
Menurutnya, dia hanya membawa dokumen asal yang diterima daripada hospital iaitu salinan berwarna putih dan kuning, manakala salinan berwarna biru diserahkan kepada pihak masjid bagi mendapatkan kebenaran pengebumian.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa saya membawa permit palsu. Saya hanya membawa dokumen asal yang diberikan oleh pihak hospital.
“Jika benar wujud permit palsu seperti didakwa, sila buktikan kepada saya kerana saya tidak pernah menggunakannya,” katanya pada akhbar, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Muhammad Hasrul mempersoalkan mengenai pemalsuan borang yang dikaitkan dengan dirinya memandangkan dia telah mengisi borang permohonan pengebumian daripada pihak masjid untuk pelepasan permit kubur.
Mengulas isu bayaran RM1,400, Muhammad Hasrul berkata, dia dimaklumkan pihak masjid akan mengenakan bil kepada waris sebelum bayaran tersebut boleh dituntut semula daripada Badan Khairat Kematian Setempat (BKS).
“Saya ahli BKS. Saya dimaklumkan pihak masjid akan bilkan kepada saya dan kemudian saya perlu membuat tuntutan semula kepada BKS,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap semua dakwaan berhubung penggunaan permit palsu dapat diperjelaskan berdasarkan fakta dan bukti bagi mengelakkan salah faham yang menjejaskan nama baik keluarganya.
“Setakat ini, pihak polis tidak ada menghubungi keluarga kami bagi mendapatkan keterangan,” jelasnya.
Sementara itu, datuk Allahyarham, Abd Majid Abdullah, 66, turut menafikan kenyataan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang mendakwa beliau berkeras tidak mahu pihak masjid menguruskan jenazah cucunya.
Menurutnya, sepanjang proses memandikan, mengkafankan dan menyolatkan jenazah dijalankan di surau, tiada wakil masjid mahupun individu lain hadir menawarkan bantuan bagi menguruskan jenazah berkenaan.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang lelaki mendakwa pengebumian jenazah anaknya tertangguh hampir sejam selepas berlaku pertikaian berhubung caj pengurusan jenazah sebanyak RM1,400 yang didakwa dikenakan oleh sebuah badan khidmat pengurusan jenazah.
Sehubungan itu, JAIS menafikan masjid terbabit menuntut bayaran RM1,400 daripada waris bagi pengurusan jenazah berkenaan.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad dilaporkan berkata, waris di peringkat awal berurusan dengan BKS dan bapa arwah menemui pembantu pengurus masjid bagi mendapatkan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam dan bersetuju pihak masjid mengambil alih.
Bagaimanapun, pihak masjid mendapati borang permohonan pengebumian dikemukakan waris kepada pengurusan kubur adalah palsu dan satu laporan polis telah dibuat semalam.
Terdahulu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman membuka kertas siasatan berhubung borang permohonan pengebumian yang disyaki palsu dalam insiden di Tanah Perkuburan Ukay Perdana, Ampang baru-baru ini.
Pengarahnya, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pihaknya menerima laporan tersebut dan sedang menjalankan siasatan lanjut.
“Setakat ini, kita sedang siasat tandatangan yang disyaki palsu pada dokumen berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














