PETALING JAYA – Herbalife hari ini mengumumkan kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai rakan pemakanan rasmi bagi program KBS Biggest Loser 2026, yang dilancarkan secara rasmi pada April lepas.
Menerusi kerjasama ini, Herbalife akan berkongsi kepakarannya dalam sains pemakanan dan kesejahteraan, serta memberi sokongan produk secara terus kepada peserta di 16 lokasi program di seluruh Malaysia.
Pengarah Kanan dan Pengurus Negara, Herbalife Malaysia dan Singapura, Steven Chin berkata, KBS telah menjadi rakan yang dihargai dalam usaha untuk menggalakkan gaya hidup lebih sihat dan penganjuran KBS Biggest Loser 2026 menandakan satu lagi mercu jaya penting dalam kerjasama kedua belah pihak.
“Program ini mencerminkan kepercayaan kami terhadap peranan penting pemakanan, pendidikan dan sokongan khusus untuk mendapatkan hasil kesihatan yang lebih baik.
“Dengan menggabungkan pendekatan berasaskan sains dengan penglibatan komuniti, kami berharap untuk melengkapkan peserta dengan ilmu dan keyakinan untuk membuat pilihan gaya hidup serba maklum dan membina tabiat kekal yang boleh diamalkan di luar program,” katanya dalam kenyataan.
Sokongan Herbalife akan membabitkan lebih daripada 3,000 peserta meliputi tiga tahap pertandingan secara khususnya di peringkat kementerian, peringkat negeri dan kakitangan awam di Putrajaya, dalam kitaran antara empat hingga enam bulan.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama, Herbalife akan menyediakan kemudahan sokongan komprehensif di lokasi yang dirangka untuk menambah baik aspek pendidikan dan pengalaman menyertai program.
Peserta berpeluang memanfaatkan ceramah pemakanan dan sesi pendidikan yang dikendalikan pakar diet dan pakar pemakanan berdaftar, selain mengunjungi reruai penilaian kesejahteraan untuk rundingan terkhusus dengan alat ukuran komposisi badan yang memberikan maklumat lebih terperinci, termasuk tahap penghidratan dan petunjuk kesihatan lain.
Herbalife juga akan menyediakan sokongan produk dan hadiah bernilai kira-kira RM42,000 untuk kesemua 16 lokasi program.
Acara KBS Biggest Loser ialah program pertandingan pengurusan berat badan yang dimulakanoleh KBS menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) untuk menggalakkan kehidupan sihat dalam kalangan kakitangan kementerian, pekerja perkhidmatan awam dan orang ramai.
Diperkenalkan pada 2024, edisi tahun ini diadakan dalam skala lebih besar, dengan meluaskan program untuk meliputi 15 negeri/wilayah persekutuan dengan struktur lebih baik yang merangkumi 16 sesi setiap kitaran, yang terdiri daripada 12 sesi latihan fizikal dan empat sesi pendidikan. – KOSMO! ONLINE














