Pelbagai bentuk pemeriksaan kesihatan diberikan kepada komuniti terlibat.

Inisiatif saringan kanser USM Bertam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AKSES kepada pemeriksaan kesihatan yang mudah dan tepat merupakan antara faktor penting dalam usaha mengesan kanser pada peringkat awal.

Menyedari keperluan itu, Universiti Sains Malaysia (USM), Bertam, Pulau Pinang menerusi Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB) membawa kepakaran perubatan terus ke lapangan bagi memastikan lebih ramai masyarakat mendapat akses kepada perkhidmatan saringan dan maklumat kesihatan.

Menerusi Program KPT Prihatin MADANI Inisiatif Saringan Kanser (ISK), lebih 300 penduduk di Perlis dan Kedah menerima manfaat daripada pelbagai perkhidmatan saringan kesihatan yang dilaksanakan pada 31 Oktober hingga 1 November lalu di Masjid Rahmaniah, Kuala Perlis dan Masjid Kampung Pokok Asam, Sungai Petani.

Inisiatif ini memberi peluang kepada penduduk setempat mendapatkan pemeriksaan serta khidmat nasihat kesihatan tanpa perlu hadir ke fasiliti hospital.

Mengangkat tema Cegah Awal, Sayangi Diri & Keluarga, program yang diketuai Pakar Perunding Kanan Otorinolaringologi PKTAAB, Prof. Madya Dr. Muhamad Yusri Musa bersama pasukan perubatan USM Bertam itu memberi tumpuan kepada peningkatan kesedaran mengenai kanser serta kepentingan pengesanan awal, khususnya dalam kalangan warga emas, pesara dan golongan berisiko.

Menurutnya, bagi sebahagian masyarakat, keperluan menjalani pemeriksaan kesihatan mungkin hanya disedari apabila timbul gejala tertentu.

Malah, masih terdapat individu yang kurang mengetahui jenis saringan yang bersesuaian dengan faktor usia, jantina dan sejarah kesihatan masing-masing.

“Keadaan ini menunjukkan bahawa kesedaran mengenai pemeriksaan kesihatan perlu terus diperkukuh agar masyarakat bukan sahaja mengetahui kepentingan pengesanan awal, malah memahami langkah yang perlu diambil untuk menjaga kesihatan diri.

“Sehubungan itu, pendekatan membawa perkhidmatan saringan terus ke kawasan komuniti bukan sekadar memudahkan akses pemeriksaan.

“Paling penting, ia turut membuka ruang kepada masyarakat untuk mendapatkan penerangan secara langsung daripada pakar perubatan mengenai risiko kesihatan dan keperluan pemeriksaan mengikut keadaan masing-masing,” katanya kepada K-Kampus.

Jelasnya, antara pemeriksaan yang disediakan termasuk saringan kanser payudara, serviks, usus, hati dan prostat, selain pemeriksaan kesihatan umum serta pameran pendidikan kesihatan.

PROGRAM ISK memberi akses secara terus kepada komuniti luar bandar mendapatkan maklumat dan pemeriksaan kesihatan tanpa perlu ke fasiliti hospital.

Perkhidmatan turut merangkumi ujian penanda kanser (tumor marker), ujian darah dalam najis dan ultrasound bagi individu yang memenuhi keperluan pemeriksaan.
Penglibatan tiga orang pakar radiologi turut memperkukuh pelaksanaan perkhidmatan saringan berkenaan.

Lebih bermakna, pelaksanaan saringan ini turut membolehkan peserta yang dikenal pasti memerlukan perhatian kesihatan lanjut diberikan panduan untuk mendapatkan pemeriksaan susulan.

Langkah ini penting bagi memastikan individu yang memerlukan penilaian lanjut tidak terlepas daripada perhatian sekali gus menjadikan usaha pengesanan awal lebih bermakna dan berterusan.

“Pendekatan turun padang ini juga membolehkan masyarakat berinteraksi secara langsung dengan pakar perubatan untuk memahami faktor risiko, mengenali tanda awal kanser serta mendapatkan panduan mengenai langkah pencegahan.

“Perkongsian maklumat secara bersemuka amat penting dalam membantu masyarakat membuat keputusan yang lebih tepat berkaitan kesihatan, khususnya apabila terdapat perubahan pada tubuh yang memerlukan perhatian dan pemeriksaan lanjut,” ujarnya.

Tambah Muhamad Yusri, penganjuran program itu menggunakan peruntukan di bawah Program Jangkauan Kesihatan Komuniti Hospital Pengajar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) dengan USM menerusi PKTAAB bertindak sebagai pelaksana inisiatif berkenaan.

Selain memberi manfaat kepada penduduk setempat, program tersebut turut menjadi platform perkongsian pengalaman antara institusi apabila delegasi Universitas Aufa Royhan (UNAR), Indonesia menyertai keseluruhan pelaksanaan program.

Penglibatan delegasi tersebut memberi peluang untuk meninjau secara langsung pengurusan dan penyelarasan program kesihatan komuniti termasuk pendekatan penyampaian perkhidmatan serta penglibatan pelbagai pihak dalam menjayakan inisiatif berkenaan.

“Pelaksanaan program di dua lokasi berbeza ini memperlihatkan kepentingan kerjasama strategik antara institusi kesihatan, organisasi sukarelawan dan komuniti dalam memperluas capaian perkhidmatan kesihatan.

“Gabungan kepakaran perubatan, sokongan sukarelawan dan penglibatan masyarakat membolehkan lebih ramai penduduk mendapat manfaat daripada perkhidmatan yang mungkin sukar dicapai sekiranya hanya tertumpu di fasiliti hospital,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN