PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki yang bukan sahaja membersihkan kawasan rumah selepas bermain mercun sempena sambutan Deepavali, malah turut mencuci kereta jirannya mengundang pujian ramai di media sosial.
Perkongsian seorang pengguna Threads, @mhrm_ysf mengenai sikap bertanggungjawab jirannya itu meraih perhatian ramai selepas memuat naik rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang memperlihatkan seorang individu dipercayai sedang membersihkan kawasan berhampiran kenderaan.
Menurutnya, dia tidak menyangka jirannya sanggup mencuci keretanya selepas selesai bermain mercun bagi memastikan kawasan sekitar kembali bersih.
“Jiran saya sebaik sahaja selesai bermain mercun terus membersihkan kawasan, sehingga kereta saya pun dia cucikan.
“Alhamdulillah, dapat jiran yang baik dan mempunyai kesedaran sivik. Selamat menyambut Deepavali semua,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Lebih menyentuh hati, lelaki itu memaklumkan sikap bertimbang rasa jirannya bukan hanya ditunjukkan ketika sambutan Deepavali, malah turut diamalkan ketika umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, jirannya sanggup mengalihkan kenderaan sendiri ke belakang rumah bagi memberikan ruang kepada tetamu yang datang berkunjung ke kediamannya.
“Sebenarnya bukan ketika Deepavali sahaja. Semasa Hari Raya Aidilfitri, dia sanggup mengalihkan keretanya dan meletakkannya di belakang rumah supaya tetamu kami boleh menumpang parkir di hadapan rumahnya,” ujarnya.
Perkongsian tersebut meraih lebih 48,000 tanda suka dan mencetuskan pelbagai reaksi positif dalam kalangan netizen yang menyifatkan sikap saling menghormati antara jiran sebagai contoh keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Seorang pengguna Threads, @nor4bd_ turut berkongsi pengalaman hampir sama apabila jirannya mengambil inisiatif membersihkan pelbagai bahagian rumah sebelum sambutan Deepavali.
“Jangankan kereta. Mereka sudah mencuci bumbung, batu-bata, tong gas dan tiang rumah jiran beberapa hari sebelum Deepavali,” katanya.
Sementara itu, @ikhwan.zy turut memuji sikap bertanggungjawab jiran berkenaan sambil berkongsi gambar beberapa kenderaan yang dipercayai terkena sisa mercun.
“Tahniah abang kerana mendapat jiran yang hebat,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @a.rishyaa berkongsi bahawa ahli keluarganya turut melakukan perkara sama selepas selesai bermain mercun.
“Abang saya pun melakukan perkara yang sama selepas bermain mercun,” katanya menerusi ruangan komen berserta rakaman video menunjukkan aktiviti membersihkan kawasan.
Turut meninggalkan komen, @aleena.ruhan yang memuji sikap menjaga kebersihan dalam kalangan masyarakat India.
“Orang India kebanyakannya memang sangat menjaga kebersihan. Hormatlah kepada kamu semua,” katanya.– KOSMO! ONLINE
















