KEUPAYAAN seseorang berlari sejauh 10 hingga 20 kilometer atau menamatkan acara maraton bukan jaminan individu itu bebas daripada penyakit jantung.
Ketua Kardiologi dan Pengarah Perkhidmatan Kardiologi Sukan Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr. Azmee Mohd. Ghazi berkata, terdapat individu yang mengamalkan gaya hidup aktif dan kelihatan sihat, namun sebenarnya mempunyai masalah kardiovaskular serius tanpa disedari.
Menurutnya, tanggapan bahawa seseorang yang kerap bersenam atau menyertai acara larian jarak jauh semestinya memiliki jantung sihat adalah tidak tepat.
“Cergas tidak bermakna bebas daripada penyakit jantung.
“Saya pernah merawat pesakit yang kelihatan sihat, mengamalkan gaya hidup aktif dan tidak menunjukkan sebarang kesukaran ketika bersenam, namun pemeriksaan mendapati mereka sebenarnya mengalami masalah kardiovaskular yang serius,” katanya.
Beliau berkata, antara masalah kesihatan yang sering tidak disedari termasuk tekanan darah tinggi, paras kolesterol tinggi dan penyakit arteri koronari.
Mengulas insiden kematian seorang pelari yang rebah ketika menyertai acara Garmin Run di Putrajaya pada 1 November lalu, beliau menyifatkan kejadian itu sebagai satu tragedi yang menyedihkan.
Bagaimanapun, katanya, punca sebenar kematian pelari berkenaan masih belum diumumkan secara rasmi dan sebarang spekulasi mengenainya wajar dielakkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Azmee mendedahkan IJN turut menerima seorang peserta Maraton Standard Chartered Kuala Lumpur bulan lalu yang mengalami serangan jantung ketika menyertai acara berkenaan.
Katanya, tindakan pantas pasukan perubatan acara yang mengenal pasti keadaan serius peserta itu sebelum mengatur pemindahan segera ke hospital membolehkan rawatan lanjut diberikan di IJN.
Pemeriksaan mengesahkan peserta terbabit mengalami serangan jantung akut sebelum pasukan perubatan IJN menjalankan prosedur intervensi koronari perkutaneus primer (primary PCI) bagi memulihkan aliran darah ke bahagian jantung yang terjejas.
Pesakit berkenaan kemudian menunjukkan perkembangan positif sehingga dibenarkan keluar dari hospital.
Menurut Azmee, peserta itu mempunyai sejarah tekanan darah tinggi dan paras kolesterol tinggi yang merupakan antara faktor risiko utama penyakit arteri koronari.
Jelasnya, senaman sememangnya memberikan manfaat besar kepada kesihatan jantung dan membantu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular, namun ia bukan pengganti kepada rawatan serta kawalan penyakit sedia ada.
“Senaman bukan pengganti kepada usaha mengawal tekanan darah, paras kolesterol, diabetes atau masalah kesihatan lain yang mendasari seseorang.
“Seseorang mungkin mampu menamatkan beberapa acara larian tanpa sebarang masalah, namun masih menghidap penyakit arteri koronari,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai, khususnya pelari rekreasi, supaya tidak memandang ringan kesakitan dada atau ketidakselesaan luar biasa ketika bersukan meskipun sudah menjalani latihan secukupnya.
Katanya, tindakan mendapatkan rawatan segera amat penting sekiranya seseorang mengalami serangan jantung kerana setiap minit memainkan peranan dalam menentukan tahap kerosakan otot jantung.
Lebih cepat aliran darah ke jantung dipulihkan, lebih tinggi peluang untuk mengehadkan kerosakan pada organ berkenaan. – KOSMO! ONLINE
















