KUALA LUMPUR – Kerajaan mengakui kadar yuran perunding kejuruteraan yang tidak disemak selama hampir tiga dekad berisiko menyebabkan firma perunding mengecilkan operasi, kehilangan kepakaran serta mendorong jurutera tempatan berhijrah ke luar negara.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, semakan semula Skala Bayaran Jurutera (Engineers Scale of Fees) yang sedang dilaksanakan adalah penting bagi memastikan industri perunding kejuruteraan negara terus kekal mampan dan berdaya saing.
“Banyak komitmen yang perlu dipenuhi syarikat perunding pada masa ini termasuk penggunaan Building Information Modelling (BIM) serta pematuhan aspek Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
“Justeru, kadar yuran baharu itu perlu mencerminkan realiti pasaran semasa supaya firma perunding mempunyai keupayaan untuk terus beroperasi dan mengekalkan kepakaran tempatan,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Yusof Abdul Wahab (GPS-Tanjong Manis) mengenai kebimbangan bahawa kadar yuran perunding yang tidak berubah sejak 28 tahun lalu.
Ahmad berkata, setakat ini negara mempunyai 230,040 jurutera siswazah, 19,750 teknologis kejuruteraan, 8,484 pemeriksa tapak dan 9,857 jurutera profesional.
Tambahnya, negara juga mempunyai 8,649 jurutera profesional dengan perakuan amalan dan 29 pemeriksa bertauliah, menjadikan keseluruhan 276,809 individu berdaftar dalam bidang kejuruteraan.
“Kita anggap jumlah itu mencukupi. Namun, jika kadar yuran tidak setara dengan keadaan semasa, kita bimbang pada masa akan datang ia akan memudaratkan profesion jurutera itu sendiri,” katanya. – KOSMO! ONLINE














