PETALING JAYA – Seramai 16 bekas anggota tentera akan mula melaporkan diri sebagai warden sepenuh masa di lapan buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) terpilih bermula Rabu ini.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, usaha tersebut antara langkah pihaknya memperkukuh disiplin pelajar serta membanteras gejala buli di institusi berkenaan.
Menurut beliau, antara MRSM yang terlibat dalam pelaksanaan fasa awal itu ialah MRSM Muar di Johor.
Katanya, pelaksanaan tersebut merupakan kesinambungan projek rintis yang dimulakan di MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau pada 18 Oktober tahun lalu.
“1 Julai Rabu ni warden-warden sepenuh masa bekas tentera mula melaporkan diri di lapan MRSM terpilih termasuk MRSM Muar. Setiap MRSM akan ditempatkan empat warden sepenuh masa daripada kalangan bekas tentera iaitu dua lelaki dan dua wanita.
“Pelaksanaan di semua 58 MRSM pula dijadual bermula 1 Januari 2027. Diharapkan selepas ini tiada lagi kedengaran kes-kes buli selain tingkatkan tahap disiplin pelajar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pagi ini.
Beliau berkata, bagi keperluan semasa, seramai 32 warden akan ditempatkan di lapan MRSM terbabit, namun fasa pertama hanya melibatkan 16 warden lelaki manakala pelantikan warden wanita akan dibuat selepas proses saringan selesai.
Tambahnya, proses pemilihan dikendalikan oleh anak syarikat MARA, Glokal Link Sdn. Bhd. (GLSB) dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), TalentCorp serta Seksyen Psikologi dan Kaunseling Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Katanya, sesi temu duga fizikal berlangsung pada 15 dan 16 Jun lalu di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (INTEM), Kepong dengan seramai 147 calon hadir, termasuk 139 lelaki.
“Pemilihan bukan berdasarkan temu duga semata-mata, sebaliknya calon perlu melepasi beberapa peringkat saringan termasuk ujian psikometrik MyNext OCEAN dan RIASEC, ujian psikologi ketenteraan, saringan kesihatan mental, pemeriksaan indeks jisim badan (BMI), bleep test serta temu duga panel pelbagai agensi.
“Penilaian psikologi turut memberi penekanan terhadap aspek perlindungan kanak-kanak, kawalan impuls, batas profesional, integriti dan indikator risiko salah laku seksual,” katanya.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, calon juga telah menjalani tapisan awal oleh JHEV dan TalentCorp bagi memastikan hanya veteran ATM yang menamatkan perkhidmatan secara terhormat serta tidak mempunyai rekod salah laku termasuk pelanggaran undang-undang akan dipertimbangkan.
Selain itu, katanya, GLSB akan melengkapkan semakan prapelantikan termasuk rekod jenayah melalui Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta disiplin sebelum sebarang surat tawaran dikeluarkan.
“Malah calon akhir turut menjalani penilaian bersama pegawai psikologi atau kaunselor ATM termasuk komponen ‘biofeedback’ bagi menilai kesesuaian mereka menjaga pelajar di asrama.
“Prinsip GLSB jelas, tiada surat tawaran akan dikeluarkan selagi semua tapisan penting belum disempurnakan. Hanya calon yang benar-benar layak, bersih, berintegriti dan sesuai menjaga pelajar MRSM akan dipilih,” jelasnya.
Beliau berkata, bagi pengambilan warden wanita pula, seramai 162 permohonan diterima dengan ujian secara dalam talian diadakan pada 25 Jun lalu manakala temu duga fizikal dijadual berlangsung pada 2 Julai sebelum pelantikan dibuat selepas semua proses tapisan diselesaikan. – KOSMO! ONLINE














