PETALING JAYA – Dua lelaki tempatan yang ditahan selepas dikejar polis kerana memiliki dadah di Jalan Kuching, di sini kelmarin, direman selama lima hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, dadah yang dijumpai dalam kenderaan suspek dipercayai adalah untuk kegunaan sendiri.
“Suspek direman lima hari sehingga 1 Julai depan. Kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan tindakan dua lelaki yang disyaki memiliki dadah melarikan diri daripada polis mengundang padah apabila mereka ditahan di Jalan Kuching menghala ke pusat bandar, di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.46 malam itu, suspek yang memandu kereta jenis Perodua Viva turut merempuh tiga kenderaan lain ketika dikejar polis.
Hasil pemeriksaan, polis menjumpai dadah disyaki heroin seberat 19.63 gram. – KOSMO! ONLINE














