HULU SELANGOR – Enam individu cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah lori satu tan dan kereta di Kilometer 408.4 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Lembah Beringin, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 7.55 pagi itu, sebuah lori dipandu lelaki warga tempatan dipercayai bertembung dengan sebuah kereta Hyundai yang dinaiki lima wanita.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.55 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Seorang wanita warga India mengalami kecederaan di bahagian pergelangan kaki serta patah kaki kiri, manakala empat lagi wanita dan pemandu lori hanya cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semua mangsa yang terbabit diberikan rawatan awal oleh petugas Kementerian Kesihatan sebelum dihantar ke Hospital Slim River untuk tindakan lanjut.
Katanya, operasi tamat selepas keadaan di lokasi berjaya dikawal dan semua mangsa diselamatkan. – KOSMO! ONLINE














