GOMBAK – Tindakan pantas polis berjaya membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan yang disyaki menceroboh masuk ke sebuah rumah di Taman Tun Teja di sini sebelum dia didakwa di Mahkamah Majistret Selayang hari ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.15 petang semalam ketika seorang wanita berada di bahagian dapur rumahnya.
Menurut beliau, suspek yang tidak dikenali dipercayai telah menceroboh masuk ke dalam kediaman mangsa sebelum wanita itu segera menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan.
“Pengadu telah membuat laporan polis pada pukul 7.49 malam berkaitan kejadian tersebut.
“Bertindak atas maklumat, kira-kira pukul 11.30 malam, anggota Unit Kereta Peronda dari Balai Polis Rawang berjaya menahan suspek ketika menjalankan rondaan berhampiran lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan penahanan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.
Katanya, kertas siasatan telah dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sebelum suspek didakwa di Mahkamah Majistret Selayang kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Sehubungan itu, Ibrahim menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan memastikan pintu rumah sentiasa berkunci bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Terdahulu, tular di Threads selepas seorang pengguna dikenali sebagai nurshamimi_97 mendakwa seorang lelaki tidak dikenali memasuki rumahnya ketika suaminya bersiap untuk keluar bekerja syif malam.
Wanita itu mendakwa suspek membuka pintu lalu masuk sehingga ke bahagian dapur rumah sebelum dia menjerit meminta bantuan suaminya. – KOSMO! ONLINE














