NILAI – Pengunduran Pengarah Teknikal Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), John Beasley selepas kontraknya tamat pada Januari tahun depan dilihat bakal meninggalkan kekosongan besar dalam kem berbasikal trek negara.
Perkara itu diakui sendiri jaguh pecut negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang menganggap persoalan lebih penting ketika ini bukan mengenai pemergian Beasley, sebaliknya siapa yang benar-benar mampu mengambil alih peranan jurulatih berpengalaman dari Australia itu.
“Kalau tanya saya, saya nak tanya balik dekat orang lain, siapa? Kalau dia nak ganti, nak ganti John (Beasley), then siapa? Siapa yang mampu untuk ganti dia?
“Itu soalan saya. Jangan tanya saya, tanya orang yang nak ganti dia tu, nak gantikan dengan siapa? Jika ada yang kata harga bayaran dia tinggi, berapa pula kita sanggup bayar untuk jurulatih yang lebih baik” katanya.
Shah Firdaus mengakui hasrat Beasley untuk meninggalkan skuad kebangsaan memberi kesan emosi kepadanya memandangkan hubungan mereka sudah terjalin sejak sekian lama.
Menurut pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia itu, Beasley bukan sekadar jurulatih, malah dianggap seperti seorang bapa yang banyak membimbing atlet sepanjang karier mereka di pentas antarabangsa.
“Saya kalau cakap pasal John ini, saya agak sedih sikitlah. Sudah tentu pada akhirnya nanti kita kena terima hakikat yang pada satu tahap kita akan kehilangan dia. Tetapi bagi saya sebagai atlet yang dah lama dengan dia, dia bukan setakat jurulatih sahaja, tapi dia itu macam bapa kepada kami semua.
“Dalam perlumbaan ini, saya baru dapat tahu yang nama dia pada saat akhir tidak ada untuk Sukan Komanwel. Jadi ia akan mencabarlah kerana kebanyakannya kami dari segi taktikal memang bergantung kepada dia. Dia memang pakar dalam bab-bab itu,” katanya.
Bagaimanapun, Shah yang ditemui pemberita ketika sesi lawatan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Komanwel Glasgow 2026 di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai hari ini, menegaskan atlet tidak boleh terlalu terpengaruh dengan situasi berkenaan, sebaliknya perlu kekal fokus terhadap tugasan di atas trek biarpun berdepan cabaran baharu.
Nada sama turut disuarakan ketua jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri yang mengakui sukar untuk membayangkan program berbasikal trek negara tanpa kehadiran Beasley selepas 21 tahun menyumbang kepada pembangunan sukan itu.
“Berat jugalah sebab saya dengan dia kerja dah 16 tahun. Kalau ikutkan memang tak nak dia pergi, tetapi saya hormat keputusan dia. Saya tak nampak pun siapa lagi buat masa ini.
“Impaknya besar sebab velodrom ini pun ada kerana dia. Dia yang banyak berjuang dulu dan apa yang atlet dapat hari ini adalah hasil daripada kejayaan yang dibina olehnya selama ini,” katanya.
Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari mengesahkan Beasley telah menyatakan hasrat untuk berundur secara terhormat selepas lebih dua dekad membentuk landskap berbasikal trek negara.
Bagaimanapun, beliau bersetuju untuk terus kekal menerajui program elit sehingga penghujung tahun ini demi memastikan persiapan atlet ke temasya utama berjalan lancar sebelum tirai era Beasley akhirnya dilabuhkan. KOSMO! ONLINE














