fbpx
MOHD. FARED menyampaikan ucapan ketika merasmikan Forum Hal Ehwal Islam Sempena Maal Hijrah 1448H di Masjid Seri Sulong, Johor, hari ini.

PRN Johor: ‘Elok bekas Setpol Kanan PM talkinkan diri sendiri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BATU PAHAT – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, Mohd. Fared Mohd. Khalid menyifatkan ‘talkin politik’ yang disampaikan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin sebagai tidak wajar dan boleh dianggap mempermainkan amalan agama.

Mohd. Fared yang juga penyandang kerusi itu dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor pada penggal lalu berkata, mengikut uruf (amalan), talkin dibacakan kepada jenazah, namun pengajarannya ditujukan kepada mereka yang masih hidup agar sentiasa mengingati kematian dan memperbaiki diri.

“Bila talkin itu dipermainkan untuk maksud pilihan raya, soalan pertama saya, dia (Shamsul) talkinkan siapa? Kalau dia talkinkan Pakatan Harapan (PH) sendiri, kami semua ‘Amin’ kan.

“Saya rasa pelik juga kerana talkin mestilah di tanah perkuburan. Kalau ditalkinkan depan kamera, kamera itu tunjuk kepada dia. Saya rasa dia talkinkan diri dia dan pasukan dia sendirilah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Forum Hal Ehwal Islam Sempena Maal Hijrah 1448H di Masjid Seri Sulong, Taman Seri Sulong di sini, pagi tadi.

Mohd. Fared turut mempersoalkan kandungan ucapan yang mengaitkan pemberian ketika kempen dengan gesaan meminta jumlah yang lebih besar kerana bimbang ia boleh disalah tafsir sebagai menggalakkan amalan rasuah politik.

“Kalau kita galakkan orang menerima rasuah, bagi RM100 minta RM500, pada saya kalau pemberian itu dibuat masa kempen, takut tergolong di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya.

“Apa maksud dia?. Adakah dia suruh orang galakkan mohon rasuah politik lagi banyak? Kalau itu niat dia, saya risau. Dia menyalahi tertib dan akhlak agama,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan semua pihak supaya tidak menggunakan amalan agama sebagai bahan kempen, sebaliknya melakukan muhasabah dan memperbaiki kelemahan diri serta parti masing-masing.

“Saya rasa elok talkinkanlah diri sendiri dan pasukan sendiri. Baiki diri kita. Saya pun ada kelemahan, parti saya ada kekurangan, tetapi kita perlu sedar diri dan ada kelemahan kita perbaiki. Jangan tengok orang sahaja yang salah,” katanya.

Terdahulu, tular video memaparkan Shamsul menyampaikan ucapan berbentuk ‘talkin politik’ dalam satu ceramah kempen, termasuk menyebut frasa ‘kalau bagi RM100 mintalah RM500″, sekali gus mengundang pelbagai reaksi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Altimet turut menegur tindakan tersebut menerusi ruangan komen di Threads yang menegaskan isu agama tidak sepatutnya dijadikan bahan gurauan atau dipermainkan walaupun dengan niat untuk menyampaikan mesej politik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN