NILAI – Sasaran pingat emas skuad berbasikal trek negara tidak terjejas biarpun pelumba berpengalaman negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom tidak diturunkan ke Sukan SEA Thailand 2025.
Ketua jurulatih negara, Harnizam Basri berkata, Shah Firdaus terpaksa diketepikan daripada temasya dwitahunan tersebut selepas pelumba berusia 30 tahun itu baru selesai menjalani pembedahan lutut kanan dua minggu lalu.
Katanya, Shah Firdaus kini di bawah pemantauan Institut Sukan Negara (ISN) dan dijangka turun menjalani latihan ringan dua minggu akan datang.
“Setakat ini baru dua minggu selepas pembedahan. Dalam masa dua minggu lagi dia boleh jalani latihan ringan tetapi mengikut tahap keadaan semasa ketika itu.
“ISN maklumkan kepada kami bahawa proses pemulihan mengambil masa kira-kira sebulan sebelum dia kembali menjalani latihan atas basikal.
“Kita akan lihat situasi dari semasa ke semasa kerana kita mahu menjelang Mac nanti Shah pulih sepenuhnya daripada sebarang kecederaan kerana misi utama adalah Sukan Asia dan kelayakan Sukan Olimpik 2028,” katanya ketika ditemui sempena lawatan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia, Nurul Huda Abdullah ke Velodrom Nasional Nilai, hari ini.
Beliau berkata, kecederaan tersebut memaksa Shah digugurkan daripada senarai akhir ke Sukan SEA kerana tarikh pendaftaran atlet telah pun ditutup, sekali gus tiada pengganti boleh dimasukkan.
“Kita tak boleh ganti sesiapa sebab pendaftaran sudah ditutup. Jadi, kita akan turun dengan tiga pelumba yang ada dalam skuad pecut.
“Tiga pelumba tersebut ialah Muhammad Ridwan Sahrom, Muhammad Fadhil Zonis dan Mohd. Akmal Nazimi Jusena, yang akan menggalas cabaran negara dalam acara pecut berpasukan dan keirin.
“Apapun, soal pingat emas, saya berani cakap tiada perubahan besar pada kekuatan pasukan. Kita masih antara pasukan paling dominan di Asia Tenggara,” tegasnya. -KOSMO! ONLINE














