PETALING JAYA – POP MART International Group (POP MART) memilih Malaysia sebagai lokasi memperkenalkan watak ‘Crybaby’ yang pertama di Asia Tenggara.
Syarikat yang terkenal dengan kotak misteri itu berkata, POP MART Malaysia akan melancarkan siri Crybaby ‘Cry Me An Ocean’ di Sunway Pyramid bermula 14 hingga 24 Mei ini.
Kata syarikat itu, acara istimewa yang bakal diperkenalkan secara rasmi pada 15 Mei ini menampilkan konsep bertemakan lautan yang penuh imaginasi.
Ia menggabungkan elemen emosi yang sinonim dengan karakter Crybaby yang direka khas untuk peminat anak patung dan budaya pop moden.
“Kehadiran pop up berskala besar ini juga menjadi satu pencapaian penting buat POP MART Malaysia selari dengan peningkatan populariti Crybaby di rantau Asia Tenggara.
“Sebagai pembuka tirai kepada acara tersebut, sebuah instalasi inflatables (patung belon angin) Crybaby bersaiz besar mula dipamerkan di Blue Entrance Sunway Pyramid berhampiran Sunway Lagoon bermula hari ini.
“Patung ini dijadikan teaser awal bagi menarik perhatian pengunjung dan peminat sebelum pembukaan rasmi pop up utama di Orange Concourse,” katanya POP MART Malaysia dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, syarikat itu berkata, pihaknya akan membawakan artis di sebalik karakter Crybaby iaitu Molly ke Malaysia buat pertama kalinya di mana sesi tandatangan eksklusif bersama artis itu akan berlangsung pada 16 Mei.
Jelas POP MART, sepanjang acara berlangsung, ruang Orange Concourse akan ditransformasikan sepenuhnya menjadi dunia bertemakan lautan yang diinspirasikan daripada siri terbaru Crybaby.
Katanya, pengunjung bukan sahaja boleh mendapatkan pelbagai koleksi eksklusif Crybaby, malah turut berpeluang menikmati pengalaman interaktif seperti sudut fotografi khas serta aktiviti menarik lain yang direka untuk memberi pengalaman lebih dekat dengan dunia karakter tersebut.
“Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai hadiah eksklusif dengan pembelian bermula 15 Mei sempena pelancaran rasmi siri Crybaby ‘Cry Me An Ocean’.
“Antara hadiah yang ditawarkan termasuk pelitup mata bertema, pelekat, skaf dan pelbagai cenderamata eksklusif lain sementara stok masih ada,” katanya.-KOSMO! ONLINE














