PENGGUNAAN batu bata eko sebagai bahan binaan menjadi alternatif mesra alam masyarakat Nepal dan dianggap lebih mampan serta tahan lasak berbanding material konvensional.
Inisiatif itu dilaksanakan menerusi projek pembangunan komuniti yang memberi tumpuan kepada pembinaan rumah, sekolah dan kemudahan awam terutama di kawasan Gorkha dan Sindhupalchok.
Bahan binaan itu berasaskan sumber tempatan dan teknologi hijau hasil campuran tanah, simen dan bahan kitar semula yang dipadatkan melalui proses mampatan bertekanan tinggi.
Kaedah ini mengurangkan kebergantungan kepada batu bata tradisional yang memerlukan pembakaran pada suhu tinggi, sekali gus membantu mengurangkan pelepasan karbon.
Kata Pengasas Build Up Nepal, Bjorn Soderberg, pasukannya membangunkan batu bata eko hasil adaptasi teknologi Bata Tanah Stabil Mampat (CSEB).
Tanpa memerlukan arang batu atau relau, kaedah tersebut berjaya mengurangkan pelepasan karbon sehingga 75 peratus kerana tidak memerlukan pembakaran.

“Sistem blok ini menawarkan pembinaan 25 peratus lebih murah dan memiliki tahap ketahanan tinggi terhadap gempa bumi serta banjir.
“Di seluruh Nepal, dianggarkan lebih 42 juta batu bata eko telah dihasilkan oleh rangkaian usahawan mikro tempatan dan ini memberi peluang kepada mereka untuk menjalani kehidupan yang lebih baik,” katanya kepada sebuah agensi berita.
Kerajaan tempatan juga menjalinkan kerjasama dengan pertubuhan pembangunan antarabangsa itu dalam usaha mencari kaedah pembinaan yang lebih mampan dan mampu milik bagi membantu komuniti yang terjejas sewaktu insiden gempa bumi pada 2015.
Insiden bencana alam yang meragut hampir 9,000 nyawa itu telah membuka peluang kepada penduduk untuk diberi latihan menghasilkan batu bata eko dan teknik pembinaan moden. Lapor agensi berita itu, langkah berkenaan bukan sahaja mempercepatkan proses pembangunan semula, malah membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan kemahiran komuniti setempat.
“Pakar pembinaan berpendapat penggunaan batu bata eko mampu menjadi model pembangunan mampan untuk negara-negara yang sering berdepan risiko bencana alam.
“Ini kerana, teknologi tersebut menggabungkan aspek keselamatan struktur, kos berpatutan dan perlindungan alam sekitar yang lebih terjamin,” katanya kepada media antarabangsa berkenaan.
Usaha Nepal dalam memanfaatkan batu bata eko membuktikan bahawa proses pemulihan pascabencana tidak hanya tertumpu kepada pembinaan semula infrastruktur.

Tetapi ia juga peluang untuk membangunkan komuniti yang lebih berdaya tahan dan lestari bagi menghadapi cabaran masa depan.
Memetik Canada Design Centre, batu bata eko mempunyai rekaan dan sistem kejuruteraan khas yang membolehkan ia tahan lasak.
“Setiap bata mempunyai bahagian bonjol (cembung) di atas dan lekukan (cekung) di bawah apabila disusun, maka ia akan bertindak seperti mengunci antara satu sama lain dengan ketat tanpa bergantung sepenuhnya kepada simen pelekat (mortar).
“Sifat seperti lego itu membolehkan tenaga atau daya gegaran disebarkan secara merata ke seluruh struktur dinding dan bukannya tertumpu kepada satu titik.
“Proses mampatan membuatkan struktur bata menjadi padat, sekali gus menghalang air banjir daripada meresap masuk dengan mudah ke dalam liang bata,” katanya.
Seorang warga tempatan dikenali sebagai Sita yang membina sendiri kediamannya di Sindhuli menggunakan batu bata eko mengakui berasa yakin dengan binaan tersebut.
“Buat pertama kali saya berasa tidak perlu risau sekiranya tanah bergegar kerana bahan binaan ini kukuh. Ini juga membuktikan peralihan penduduk luar bandar kepada pembinaan lestari yang berkesan.
“Saya membuat sendiri batu bata eko ini dan pada masa sama melatih usahawan tempatan untuk menghasilkan serta menjual batu bata eko atau eco brick,” katanya di agensi berita.














