fbpx
Korban gempa bumi cecah 920, 50,000 orang hilang

Korban gempa bumi cecah 920, 50,000 orang hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CARACAS – Angka korban akibat gempa bumi berkembar di Venezuela meningkat kepada 920 orang semalam, dengan berpuluh-puluh ribu penduduk dilaporkan hilang ketika pasukan penyelamat antarabangsa menyertai usaha menyelamat yang bergerak perlahan.

Penduduk Caracas mengejek pemimpin interim, Delcy Rodriguez semasa beliau melawat sebuah kejiranan  yang musnah, selepas orang ramai berang  kerajaan lambat menghulurkan bantuan.

Ketua bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),  Tom Fletcher memberitahu AFP bahawa lebih 50,000 orang hilang selepas dua gempa bumi kuat melanda selang seminit pada Rabu lepas, meratakan bangunan-bangunan di utara Venezuela.

Kawasan pantai La Guaira, dekat ibu negara, Caracas  adalah yang paling teruk terjejas, dengan satu demi satu bangunan runtuh akibat gempa bermagnitud 7.2 dan 7.5.

Sementara itu, pasukan penyelamat dari Chile tiba di sebuah kompleks perumahan di La Guaira, yang terdiri daripada empat bangunan tinggi menempatkan ratusan pangsapuri, namun  sebahagian besarnya bertukar menjadi runtuhan.

Malangnya, kemusnahan  adalah menyeluruh. Peluang untuk menemukan mangsa terselamat tipis. Usaha kini tertumpu kepada mencari mayat mangsa,” kata ketua pasukan penyelamat Nadiomar Polanco di lokasi tersebut.

Agensi kemanusiaan PBB,  OCHA pula berkata,  pasukan mencari dan menyelamat dari sekurang-kurangnya 17 negara sedang digerakkan untuk membantu mencari mangsa yang terselamat.

Pasukan penyelamat Sepanyol, Salvador, Switzerland, Colombia, dan Mexico sudah pun berada di lapangan.

Di Washington, pentadbiran Presiden Donald Trump menyatakan telah menghantar pasukan tindak balas bencana terdiri daripada lebih 250 anggota, termasuk tiga unit mencari dan menyelamat khas dibantu  anjing yang dilatih untuk mencari orang yang terperangkap di bawah runtuhan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN