REMBAU – Sebongkah batu gergasi di Kampung Miku Pindah, di sini, kekal misteri buat penduduk kampung kerana bentuknya yang unik seakan-akan bertingkat serta bertindih antara satu sama lain.
Seorang penduduk, Mohd. Zaharin Ahmad, 70, berkata, batu itu sudah wujud sejak dia berpindah ke kampung itu tahun 1948 ketika penduduk dari Kampung Miku Lama dipindahkan akibat ancaman komunis.
Jelasnya, bongkah misteri itu tidak pernah berubah kedudukan dan menjadi sebahagian daripada identiti kampung tersebut.
“Kalau dilihat, batu itu seolah-olah mempunyai beberapa lapisan yang bertindih. Dahulu orang kata ada empat lapisan sebelum ditolak lapisan batu atas, sekarang yang jelas kelihatan tiga lapisan. Semuanya adalah kekuasaan Allah,” katanya ketika ditemui Kosmo!, di Kampung Miku Pindah, di sini semalam.
Ujar Mohd. Zaharin, pelbagai cerita termasuk kisah bunian sering dikaitkan dengan batu tersebut kerana berwarna hitam, namun dia sendiri tidak pernah melihat sebarang kejadian luar biasa.
“Ada orang yang percaya kawasan ini didiami bunian, tetapi saya sendiri tidak pernah nampak. Malah, ada juga orang yang masuk ke kampung kata di sini banyak bunian, tapi insya-Allah tidak pernah berlaku kejadian apa-apa di sini,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mezuar Yusof, 65, berkata, batu tersebut mempunyai keunikan tersendiri yang sukar ditemui di tempat lain.
“Kalau tidak istimewa, mana ada batu seperti ini. Bentuknya bertindih dan berlapis-lapis. Batu di bahagian atasnya seolah-olah diletakkan. Ketinggiannya kira-kira lima meter dan panjangnya antara lima hingga 10 meter.
“Kami bukan pakar untuk menentukan asal-usulnya, tetapi jika ada kajian dilakukan mungkin sejarah sebenar batu ini dapat dirungkai,” katanya.
Menurutnya, batu berkenaan sering menjadi perhatian pengunjung luar yang singgah untuk mengambil gambar kerana tertarik dengan bentuknya.














