CAMERON HIGHLANDS – Bukan sahaja tidak mempunyai kelulusan menjalankan aktiviti pengumpulan sayur malah turut membina bangunan di atas tanah kerajaan tanpa kebenaran.
Itu adalah kesalahan yang dikesan dalam serbuan dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) di sebuah premis dekat Jalan Blue Valley, Kampung Raja di sini semalam.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, dalam serbuan pada pukul 11.05 pagi itu pengusaha premis gagal mengemukakan sebarang dokumen kelulusan yang sah bagi aktiviti pengumpulan dan penyimpanan sayur di premis.
“Dalam serbuan ini kita turut merampas pelbagai barangan termasuk trak pikap, pelbagai jentera, peralatan serta sayur yang bernilai kira-kira RM555,000.
“Seterusnya kesemua 16 individu ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Kanun Tanah Negara iaitu menduduki tanah kerajaan secara tidak sah dengan membina serta menggunakan bangunan sebagai tempat urusan jual beli, stor dan pejabat tanpa kebenaran,”katanya di sini hari ini.
Tambahnya kesemua tangkapan diserahkan kepada pihak Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) untuk tindakan lanjut manakala pihak Majlis Daerah Cameron Highlands telag mengeluarkan kompaun sebanyak RM2,000 terhadap pemilik premis.
Menurut Ahmad Radzi, kes disiasat mengikut Seksyen 426A (1) (b) Kanun Tanah Negara (Akta 828) dan siasatan giat dilakukan.
Katanya berdasarkan siasatan awal mendapati suspek mengaku telah menjalankan aktiviti jual beli, stor pejabat di lokasi berkenaan sejak Jun tahun lalu.
Jelasnya hasil sayuran yang dipetik akan di hantar ke luar negeri seperti Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan lain-lain negeri mengikut permintaan.- KOSMO! ONLINE














