NILAI – Polis menahan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam baru-baru ini, yang disyaki terlibat kes pecah rumah melibatkan kerugian dianggarkan RM120,000 di Mantin, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, tangkapan dibuat susulan laporan diterima daripada seorang wanita pada 17 April lalu selepas mendapati rumahnya di Taman Permai Jaya, Mantin dipecah masuk.
“Siasatan awal mendapati bilik tidur mangsa dan ibu mentuanya berada dalam keadaan berselerak, manakala barang kemas, dokumen penting serta wang tunai dipercayai hilang.
“Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) turut menunjukkan sebuah kereta jenis Honda City Hatchback berwarna putih berhenti di hadapan rumah sebelum dua lelaki bertopeng memasuki kediaman dan melarikan diri bersama sebuah beg,” katanya kepada Kosmo! di sini. – KOSMO! ONLINE














