KUALA LUMPUR – Nilai kerugian akibat jenayah penipuan dalam talian di negara ini terus menunjukkan peningkatan membimbangkan apabila melonjak daripada RM1.57 bilion pada 2024 kepada RM2.97 bilion pada tahun lalu.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan, bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini sahaja, jumlah kerugian yang direkodkan sudah mencecah RM830 juta.
Menurut kementerian itu, penipuan pelaburan tidak wujud kekal menjadi kategori yang mencatatkan kerugian tertinggi dengan nilai RM848.62 juta pada 2024 sebelum meningkat kepada RM1.46 bilion pada 2025 dan RM361.63 juta sehingga Mei tahun ini.
“Jenayah telekomunikasi pula merekodkan kerugian RM497.12 juta pada 2024, meningkat kepada RM802.47 juta pada 2025 dan RM235.63 juta bagi tempoh Januari hingga Mei 2026.
“Bagi kes love scam, kerugian dicatatkan sebanyak RM45.87 juta pada 2024, RM47.44 juta pada 2025 dan RM17.76 juta bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini,” menurut jawapan bertulis KDN yang disiarkan di portal Parlimen hari ini.
Dari sudut geografi, Selangor dan Kuala Lumpur terus menjadi negeri yang mencatatkan kerugian tertinggi akibat penipuan dalam talian.
Selangor merekodkan kerugian RM446.16 juta pada 2024 sebelum melonjak kepada RM986.79 juta pada 2025, manakala Kuala Lumpur meningkat daripada RM293.30 juta kepada RM782.86 juta dalam tempoh sama.
Menurut KDN, negeri-negeri lain seperti Johor, Pulau Pinang dan Perak turut menunjukkan peningkatan ketara, manakala Sabah dan Sarawak masing-masing merekodkan kerugian melebihi RM110 juta pada tahun lalu.
Kementerian itu berkata, kerajaan terus memperkukuh usaha membanteras jenayah penipuan menerusi pengoperasian Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) yang berfungsi 24 jam sehari bagi membolehkan tindakan pantas seperti pembekuan akaun dan sekatan transaksi dilakukan.
“Sejak penubuhannya pada 2022, sebanyak RM32.49 juta dana mangsa penipuan berjaya disita dan RM10.9 juta daripadanya telah dipulangkan semula kepada mangsa.
“Bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, sebanyak RM7.25 juta dana telah disita dan RM3.57 juta atau 49 peratus berjaya dipulangkan kepada mangsa,” katanya.
KDN menjelaskan peningkatan kadar pemulangan dana itu menunjukkan keberkesanan NSRC dalam membantu mangsa serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap mekanisme respons scam negara. – KOSMO! ONLINE














