JOHOR BAHRU – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menepis pelbagai spekulasi berhubung kelewatan pengumuman calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan menegaskan ia berpunca daripada proses tapisan serta dokumentasi yang ketat.
Beliau berkata, pengumuman calon yang dijadualkan berlangsung pada pukul 3 petang sebelum ditunda ke pukul 4.30 petang itu bukan disebabkan masalah dalaman atau isu lain seperti didakwa sesetengah pihak.
Menurutnya, setiap calon perlu melalui beberapa prosedur wajib sebelum nama mereka diumumkan secara rasmi.
“Selain mengangkat baiah untuk kekal setia kepada parti dan tidak melompat parti sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat, setiap calon turut menjalani tapisan menyeluruh.
“Profil calon disemak melibatkan status kebankrapan, rekod jenayah, pematuhan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), semakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta rekod dengan Jabatan Agama Islam bagi memastikan mereka bebas daripada isu berkaitan kesalahan syariah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Asyraf berkata, semua calon turut dikehendaki menandatangani beberapa dokumen perjanjian dan kontrak di hadapan peguam serta Pesuruhjaya Sumpah.
Katanya, proses yang bermula seawal pukul 10.30 pagi dan dijangka selesai sekitar pukul 2.30 petang itu bagaimanapun berlanjutan sehingga pukul 4 petang berikutan melibatkan keseluruhan 56 calon BN.
Dalam hantaran sama, beliau turut berkongsi beberapa gambar yang menunjukkan proses dilalui calon-calon BN sebelum pengumuman rasmi dibuat oleh Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Sehubungan itu, beliau memohon maaf kepada penyokong, jentera parti serta pengamal media yang terpaksa menunggu lebih lama bagi pengumuman rasmi berkenaan.
Beliau pada masa sama menzahirkan harapan agar semua calon BN diberikan kejayaan pada PRN Johor demi kesejahteraan rakyat negeri ini. – KOSMO! ONLINE














