SEGAMAT – Kerajaan Madani mengumumkan peningkatan geran tahunan kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara daripada RM6,000 kepada RM10,000 bermula 1 Januari tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan peruntukan itu sebagai tanda penghargaan kepada anggota KRT yang selama ini berperanan menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dalam menjaga keselamatan serta keharmonian komuniti setempat.
Katanya, kenaikan itu dipersetujui selepas mengambil kira sumbangan besar KRT dalam memperkukuhkan perpaduan dan membantu pelbagai agensi kerajaan di peringkat akar umbi.
“Selama 10 tahun KRT hanya menerima RM6,000 setahun. Kali ini saya bersetuju untuk meningkatkan peruntukan itu daripada RM6,000 kepada RM10,000 bagi semua KRT di seluruh Malaysia.
“Peruntukan ini akan disalurkan bermula 1 Januari 2027, tertakluk kepada laporan kewangan dan laporan aktiviti KRT yang dikemukakan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Madani Kita bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Dataran Segamat dan Program Jom! Makan Durian di Taman Yayasan di sini hari ini.
Anwar berkata, peranan KRT amat penting dalam menyuburkan semangat perpaduan masyarakat pelbagai kaum selain membantu menangani isu keselamatan dan sosial di kawasan setempat.
“Rukun Tetangga ini menjadi satu kekuatan kerana rakyat daripada pelbagai kaum dapat bersatu menjaga keamanan dan keselamatan di kampung serta kawasan perumahan.
“Mereka membantu menangani masalah jenayah, isu di kampung, desa dan kawasan bandar sekali gus memudahkan tugas polis serta agensi pelaksana,” katanya.-KOSMO! ONLINE














