LUMUT – Sebanyak lapan laporan polis membabitkan kejadian pecah rumah atau samun disyaki melibatkan warga Indonesia di sekitar Ayer Tawar dan Pekan Gurney di Sitiawan, dekat sini diterima setakat ini oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman berkata, susulan siasatan dilakukan pihaknya, mereka kini giat memburu sekumpulan tiga hingga empat warga Indonesia berkenaan.
“Mereka disyaki ada kaitan dalam kes-kes yang berlaku dengan sasaran utama suspek adalah rumah yang berhampiran pinggir hutan dan terpencil,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan memastikan rumah berada dalam keadaan berkunci selain meningkatkan ciri-ciri keselamatan.
Katanya, ia seperti memasang televisyen litar tertutup selain tidak menyimpan wang tunai dalam amaun yang banyak bagi mengelakkan menjadi sasaran penjenayah.
“Saksi atau orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil hadir ke IPD Manjung menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-688 6222.
“Orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline WhatsApp 017-682 8005 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














