KEMAMAN – Seorang pesara swasta berputih mata apabila kerugian RM112,228 akibat terperdaya dengan penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian.
Lelaki berusia 58 tahun tersebut yang menyedari tertipu telah membuat laporan berhubung kes berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Razi Rosli berkata, pada mulanya, pesara itu tertarik dengan iklan tawaran kerja sambilan yang dilihatnya di laman sosial Facebook pada 8 Jun lalu.
“Mangsa yang berminat dengan iklan tawaran kerja itu telah menghubungi wakil syarikat terlibat menerusi aplikasi WhatsApp sebelum ditawarkan membuat ulasan bagi pakaian berjenama dengan pembayaran komisen.
“Dia mengikut arahan suspek melakukan pembayaran keseluruhan RM112,228 dalam 11 transaksi ke dalam enam akaun bank berbeza dalam tempoh 10 hari sehingga semalam,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Razi berkata, mangsa menyedari tertipu selepas tidak menerima sebarang komisyen dijanjikan.
Beliau berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE














