PETALING JAYA – Lebih 2,000 peluang pekerjaan merentasi pelbagai sektor industri ditawarkan kepada rakyat Johor sempena Karnival Lindung Kerjaya Madani anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi portal pekerjaan nasional MYFutureJobs.
Perkeso dalam kenyataan berkata, karnival itu menghimpunkan pelbagai majikan terkemuka yang menawarkan peluang pekerjaan daripada peringkat operator sehingga ke pengurusan atasan.
Menurut agensi itu, antara syarikat yang membuka kaunter temu duga secara terus ialah Celestica Electronics, Flextronics Shah Alam, Super Micro Computer Malaysia, Handal Indah, Guan Chong Cocoa Manufacturer, SK 8 Engineering, Tiger Balm (M), Novotel Johor Bahru City Centre dan YTL Data Centre.
“Peluang pekerjaan yang ditawarkan merangkumi sektor pembuatan, pengangkutan, perkhidmatan serta industri makanan, sekali gus memberi pilihan kerjaya yang luas kepada pencari kerja daripada pelbagai latar belakang dan kelayakan,” katanya.
Perkeso berkata, karnival tersebut menyasarkan pelbagai lapisan pencari kerja termasuk graduan baharu, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pemegang diploma dan ijazah serta individu berkemahiran teknikal.
Selain itu katanya, bagi mereka yang ingin meningkatkan prospek kerjaya dan pelajar yang mencari peluang latihan industri turut digalakkan menyertai program berkenaan.
“Menariknya, pelbagai jawatan yang ditawarkan hadir dengan pakej gaji yang kompetitif, bermula daripada RM3,500 sebulan bagi jawatan operasi sehingga RM16,000 sebulan bagi jawatan pengurusan kanan dan profesional.
“Pengunjung juga berpeluang menjalani sesi temuduga secara terus pada hari yang sama tanpa perlu menunggu panggilan susulan, memandangkan wakil majikan akan berada di lokasi bagi menjalankan proses saringan dan temu duga secara bersemuka,” jelasnya.
Dalam pada itu, Perkeso turut menyediakan perkhidmatan sokongan kerjaya secara percuma termasuk kaunseling kerjaya, pemprofilan kemahiran dan bimbingan pembangunan kerjaya oleh pegawai berpengalaman.
Pengunjung juga boleh mengunjungi zon MYFutureJobs Rover yang menawarkan pelbagai aktiviti interaktif, cabaran menarik dan permainan santai dengan peluang memenangi hadiah serta cenderamata eksklusif MYFutureJobs.
Selain peluang pekerjaan, orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai perlindungan sosial Perkeso termasuk skim Lindung 24 Jam, Lindung Kendiri dan Lindung Kasih.
Orang ramai yang berminat digalakkan membuat pendaftaran awal menerusi portal MYFutureJobs atau hadir terus ke lokasi karnival pada hari program berlangsung. – KOSMO! ONLINE














