PETALING JAYA – Hujan lebat yang melanda kawasan sekitar Greenwood petang ini dipercayai menyebabkan banjir kilat di persimpangan lampu isyarat Simpang 4 Greenwood, Gombak sehingga menjejaskan pergerakan trafik.
Perkembangan itu dikongsi seorang pengguna Threads yang memuat naik video menunjukkan beberapa kenderaan meredah air yang memenuhi sebahagian jalan di lokasi berkenaan
Menerusi hantaran tersebut, pengguna berkenaan menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan masing-masing bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan atau laluan yang dinaiki air
“Banjir teruk guys (semua) kat (dekat) Simpang 4 Greenwood. Sila rancang perjalanan anda,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat, ribut petir dan angin kencang di beberapa kawasan di Semenanjung petang ini.
Antara daerah yang dijangka terjejas di Selangor ialah Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang. – KOSMO! ONLINE














