TAMPIN – Selepas 27 tahun berkhidmat dalam tentera sebagai pakar meriam, seorang bekas pegawai kanan tentera memilih menceburi bidang bakeri dengan modal permulaan RM300,000.
Bekas Komandan Pusat Latihan Artileri Kem Gemas, Leftenan Kolonel (Bersara) Mohd. Razali Awap, 55, berkata, keputusan membuka perniagaan bakeri dibuat selepas melihat potensi pasaran yang masih kurang diterokai usahawan Melayu, khususnya di kawasan kampung dan pinggir bandar.
Menurut anak jati Pasir Besar itu, kebanyakan penduduk perlu ke pusat beli-belah untuk mendapatkan roti dan kek segar, sekali gus mendorong beliau menawarkan produk bakeri yang dihasilkan setiap hari tanpa menggunakan bahan pengawet.
“Orang biasa makan roti sejak kecil, tetapi untuk dapatkan roti baru dibakar mereka selalunya perlu pergi ke pasar raya atau pusat beli-belah. Saya nampak ada ruang pasaran di sini, jadi kami tawarkan roti dan kek segar pada harga berpatutan.
“Selain menjual produk berkualiti, saya juga mahu menyumbang kepada keterjaminan makanan serta membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda,” katanya ketika ditemui di premis bakerinya di Pekan Pasir Besar, di sini, semalam.
Ujar Mohd. Razali lagi, meskipun latar belakangnya dalam bidang ketenteraan, asas pengurusan yang dipelajari sepanjang perkhidmatan banyak membantu dalam mengendalikan perniagaan, selain dibantu anak ketiganya, Nuradibah, 26.
“Dalam tentera, perkara paling penting ialah disiplin. Dalam perniagaan pun sama, cuma pengisiannya berbeza. Konsep disiplin pengurusan bekalan, kawalan kos serta untung rugi kini digunakan,” katanya.
Premis ini menghasilkan antara 200 hingga 300 unit roti sehari bergantung kepada permintaan selain menawarkan 10 hingga 12 jenis roti termasuk kek.














