fbpx
Gambar hiasan.

Istana Negeri Sembilan tidak terlibat dalam mana-mana parti politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Istana Negeri Sembilan sentiasa menjunjung prinsip berkecuali dan tidak berpihak serta terlibat dengan mana-mana parti atau kegiatan politik.

Menerusi kenyataan media dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, semua parti politik dinasihatkan tidak mengaitkan istana semasa ceramah dan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

“Institusi Raja merupakan payung perpaduan rakyat yang berperanan memelihara keharmonian, kestabilan serta kesejahteraan negara.

“Sehubungan itu, sebarang dakwaan, kenyataan, gambar, video atau bahan yang mengaitkan Istana Negeri Sembilan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, atau mana-mana ahli Kerabat Diraja dengan parti politik adalah tidak benar,” kata kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu, Istana Negeri Sembilan turut menasihatkan semua calon parti politik yang bertanding pada PRN Negeri Sembilan Ke-16 agar mengelak daripada memainkan isu berkaitan 3R (Agama, Raja dan Kaum) serta sentiasa berkempen secara berhemah, beretika dan mematuhi undang-undang demi memelihara keharmonian negeri.

“Istana Negeri Sembilan menghargai kerjasama semua pihak dalam memastikan Institusi Diraja terus dihormati dan dipelihara daripada sebarang salah tafsir atau eksploitasi bagi kepentingan mana-mana pihak.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan atau mempercayai maklumat yang tidak disahkan serta sentiasa merujuk kepada saluran rasmi Istana Negeri Sembilan bagi mendapatkan maklumat yang sahih,” katanya lagi.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN