fbpx
Gambar hiasan.

Malaysia anjur semula F1 tanpa kos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAMPIN – Malaysia bakal mencipta sejarah apabila kembali menjadi tuan rumah perlumbaan Formula Satu (F1) dalam tempoh kira-kira dua bulan lagi tanpa perlu membayar yuran pendaftaran kepada syarikat pemegang hak penganjuran sukan permotoran berprestij itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan (seperti biasa) perlu menanggung kos menaik taraf Litar Antarabangsa Sepang sebanyak RM16 juta untuk memenuhi standard yang ditetapkan untuk penganjuran sukan permotoran.

Menurut beliau, perkembangan itu berlaku selepas kerajaan Bahrain bersetuju membuat bayaran pendahuluan yang telah dibuat kepada Formula One susulan perlumbaan itu dipindahkan ke Malaysia.

“Semalam mereka telefon dan memaklumkan bayaran awal yang telah dibayar kepada F1 dihapuskan. Jadi kita boleh menganjurkannya tanpa membayar kos pendaftaran kepada syarikat itu. Kita hanya perlu membaiki sedikit trek di Sepang,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Dewan Garisson, Kem Syed Sirajudin, di sini, hari ini.

Anwar berkata, jumlah tersebut amat kecil berbanding manfaat yang bakal diperoleh negara apabila Malaysia menjadi perhatian dunia menerusi kehadiran pelumba terbaik, jentera F1 paling canggih serta ribuan jurutera dan pegawai pasukan ke Sepang.

“Orang lain menganjurkan perlumbaan ini dengan kos ratusan juta malah ada yang mencecah lebih RM1 bilion. Kita pula hanya membelanjakan sekitar RM16 juta untuk menjadi tumpuan dunia,” katanya.

Beliau menjelaskan, kepercayaan yang diberikan kepada Malaysia bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil reputasi negara yang aman, cekap dan mempunyai infrastruktur bertaraf antarabangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN