PASIR PUTEH – Dua beradik yatim di Kampung Bunut Rendang di sini terpaksa berjaga-jaga setiap kali hujan apabila air mencurah masuk ke dalam rumah melalui bumbung bocor sehingga menyebabkan kediaman mereka basah.
Sebelum ini, sebahagian atap zink rumah usang itu sudah tercabut dan terpaksa diikat menggunakan tali bagi mengelak diterbangkan angin, manakala pintu hadapan pula ditampal dengan kepingan zink.
Kesempitan hidup itu ditanggung Che Nor Amiera Fitrina Che Ismail, 18, yang sedang melanjutkan pengajian dalam Diploma Agroindustri Tanaman di Kolej Vokasional Pasir Puteh bersama abangnya, Che Amirul Ashraf, 26, yang bekerja mengambil upah menjaga lembu di Pasir Mas.
Che Nor Amiera berkata, kehidupan dia dan abangnya berubah selepas ibu mereka yang sudah lama bercerai dengan bapa meninggal dunia pada 2023 akibat komplikasi penyakit kencing manis, buah pinggang dan jantung.
Katanya, sejak kehilangan ibu mereka, dia dan abangnya tinggal di rumah tersebut yang terletak berhampiran kediaman nenek mereka, Siti Limah Pit, 69, yang menjadi tempat bergantung harap.
“Sekarang saya berada di semester dua dan pengajian mengambil masa dua tahun setengah. Perbelanjaan sepanjang belajar banyak dibantu oleh bapa saudara yang bekerja kampung.
“Apabila hujan, air masuk melalui bumbung yang bocor sehingga rumah digenangi air. Ada bahagian zink yang tercabut dan kami terpaksa mengikatnya menggunakan tali,” katanya ketika ditemui di rumahnya kelmarin.
Che Nor Amiera memberitahu, keadaan di rumah yang tidak mempunyai bilik itu sudah berlarutan lebih setahun, namun mereka tidak mampu membaikinya kerana masalah kewangan.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Cempaka Merah Asnaf Society (Mahabah Asnaf Society), Che Norhayati Mohamed berkata, pihaknya mengetahui kesusahan keluarga berkenaan selepas dimaklumkan penduduk dan jiran yang prihatin.
“Dengan sumbangan orang ramai, kami berjaya melakukan kerja pembaikan awal Oktober lalu termasuk membina struktur simen dan menyediakan tandas dengan kos RM10,000.
“Bagaimanapun, kami masih memerlukan tambahan RM10,000 bagi menyiapkan pembaikan rumah supaya dua beradik ini dapat tinggal di tempat yang lebih selesa dan selamat,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Che Amirul Ashraf menerusi talian 017-985 3070 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam miliknya bernombor 03090021182208.
















