KUALA LUMPUR – Meskipun diundi bersama tiga pasukan kelompok 10 terbaik dunia, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) tetap optimis Speedy Tigers mampu melakar kejutan dengan mara ke suku akhir Piala Dunia 2026 di Belgium dan Belanda bermula 15 Ogos depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan KHM, Datuk Najmi Razak berkata, sasaran itu bukan angan-angan kosong kerana skuad negara pernah hampir mencapainya pada edisi lalu, selain menunjukkan peningkatan prestasi sepanjang tahun ini.
“Kalau kita imbas semula Piala Dunia lalu, kita sebenarnya hampir-hampir mara ke suku akhir kerana tewas dalam penentuan shoot-out. Maknanya kita mampu melakukannya, cuma pemain perlu ada keyakinan dan keinginan yang tinggi.
“Saya sudah beritahu mereka, tiada yang mustahil. Jangan takut dengan sesiapa pun. Bermain cara kita sendiri, ikut perancangan jurulatih dan saya percaya peluang itu tetap ada. Harapan kami memang mahu melihat pasukan ini mara ke suku akhir,” katanya.
Cabaran Malaysia bagaimanapun bukan mudah apabila menghuni Kumpulan B bersama tuan rumah Belgium selaku pasukan No.1 dunia dan naib juara edisi 2023, juara bertahan Jerman (No.5 dunia) serta Perancis yang menghuni ranking kesembilan dunia.

Namun, Najmi percaya jurang tersebut bukan penghalang memandangkan Malaysia yang berada di ranking ke-14 dunia menamatkan Piala Dunia 2023 di kedudukan ke-13, sama seperti Perancis, sekali gus membuktikan mereka mampu memberi saingan kepada pencabar Eropah.
Keyakinan itu turut disandarkan kepada peningkatan prestasi Speedy Tigers apabila menamatkan kempen Piala Negara-Negara di Cape Town, Afrika Selatan pada Jun lalu di tangga kelima selepas menewaskan Scotland 4-2, sekali gus memperbaiki pencapaian tempat keenam yang diraih pada edisi terdahulu.
“Saya lihat pemain berada dalam keadaan yang baik, kecergasan mereka juga memuaskan. Prestasi mereka meningkat daripada satu perlawanan ke satu perlawanan dan segala kelemahan yang dikenal pasti sebelum ini sudah diperhalusi bersama barisan kejurulatihan,” ujarnya.
Sementara itu, ketua jurulatih, Brendan Carolan enggan menganggap undian tersebut sebagai ‘kumpulan maut’, sebaliknya melihatnya sebagai peluang terbaik buat Speedy Tigers mengukur kemampuan sebenar sebelum mengharungi Sukan Asia, September depan.
“Orang boleh kata ini kumpulan maut, tetapi bagi kami ia adalah kumpulan peluang. Kalau mahu layak ke Olimpik, kami memang perlu menewaskan pasukan-pasukan seperti ini. Jadi kami melihatnya dari sudut positif kerana kami tahu di mana tahap yang perlu kami capai,” katanya.
Malaysia dijadual membuka kempen menentang Jerman pada 15 Ogos, diikuti Perancis dua hari kemudian sebelum menutup aksi kumpulan berdepan Belgium pada 19 Ogos dengan hanya dua pasukan terbaik akan mengesahkan tempat ke suku akhir. KOSMO! ONLINE














