KUALA TERENGGANU – Seramai tujuh pekerja bengkel membaiki kenderaan dan premis alat ganti kenderaan baharu dan terpakai sekitar negeri ini telah ditahan dalam Op Legang Khas yang dilancarkan selama enam hari sehingga kelmarin.
Kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 16 hingga 43 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes kecurian kereta dan motosikal.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, pemeriksaan telah dilakukan terhadap 66 premis seluruh negeri ini sepanjang tempoh operasi bermula 19 Julai lalu.
“Operasi tersebut bertujuan memastikan premis-premis terbabit tidak terlibat dalam aktiviti membeli atau menjual alat ganti kenderaan curi.
“Tiada kenderaan curi ditemui namun beberapa alat ganti motosikal, komponen enjin dan topi keledar yang mencurigakan telah disita bagi membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Khairi berkata, empat suspek telah ditahan selepas gagal memberi keterangan terhadap pemilikan alat ganti kenderaan terhadap di premis perniagaan mereka.
Beliau berkata, mereka disiasat mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
“Tiga lagi suspek ditahan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan mencuri motosikal,” katanya. – KOSMO! ONLINE














